Tuesday, January 9, 2018

Sut Pertama

Tepat pukul 6 petang saya terus mengemas meja kerja dan bersiap untuk pulang. Minggu pertama sebagai pelatih dalam kamar tidak ada apa-apa kerja yang perlu disiapkan sangat.

Keluar sahaja daripada Menara TH Perdana saya terus mengatur langkah. Menuju ke arah Pertama Complex yang terletak beberapa baris sahaja di hadapan. Kompleks yang dekat dengan hati saya selain daripada Campbell Complex. Sahaja mencuci mata dan menjenguk barang-barangan yang ada di sana.

Sebaik melintas ke Pertama Complex saya mengambil laluan masuk melalui Selangor Photo. Mencelah masuk ke dalam kedai tersebut saya terperasaan satu meja kecil beserta mesin jahit di satu sudut. Beserta dengan satu rak yang disangkut penuh dengan ‘bush jacket’. Celah mana pula boleh ada tukang jahit dalam kedai gambar.

Alang-alang sudah terjumpa tukang jahit boleh juga saya bertanya untuk menempah sut untuk kegunaan harian saya. Sut pertama yang bakal saya ada sepanjang hidup saya. Hatta masa zaman pengajian di sekolah undang-undang pun saya memang tidak langsung memiliki ‘blazer’. Tak penting bagi saya. Yang penting adalah parka dan juga hoodies saya.

Saya menghampiri tukang jahit separuh usia itu. “Uncle, saya mau potong baju sut. Takmau kedut punya kain, takmau panas. Yang murah punya.”

Walaupun itu pengalaman pertama tetapi saya percaya pertanyaan saya itu bukan calang-calang. Penuh dengan keyakinan.

“Ada.” Jawab tukang jahit itu sambil menunjukan satu lembaran kain.

Belanja hangus untuk sut pertama saya adalah sebanyak tiga ratus ringgit tunai. Yang mana selepas itu sut itu saya gunakan setiap hari sehinggalah sampai ke hari ini. Masih setia meneman saya di serata mahkamah. Cumanya bab seluar itu terpaksa saya upgrade. Bab ukur lilit perut memang tidak boleh buat apa.

Sut pertama di Pertama Complex.

No comments:

Post a Comment