Thursday, July 14, 2016

Mahkamah Yang Mana

Kebiasaannya hampir setiap pagi saya akan berada di mahkamah untuk urusan kes saya. Andai kata ada mana-mana individu atau anak guam yang ingin berjumpa dengan saya akan saya maklumkan mereka untuk berjumpa sahaja di mahkamah. Tambahan pun senang bagi mereka untuk datang ke mahkamah.

Selalunya apabila saya memaklumkan keberadaan saya di mahkamah mereka ini sudah faham bahawa mahkamah yang saya maksudkan adalah mahkamah sivil/jenayah.

Pagi semalam seperti biasa apabila ada seorang individu yang ingin berjumpa saya maka saya sarankan agar dia datang ke mahkamah. Saya akan menunggunya di mahkamah. Hanya telefon sahaja saya sebaik saja sampai ke mahkamah. Sambil saya menyelesaikan kes di mahkamah saya boleh sekaligus berjumpa dengannya untuk urusannya itu.

Semasa menunggu untuk urusan kes saya dipanggil dia menelefon saya dan memaklumkan bahawa telah sampai sudah ke mahkamah. Tanpa berlengah saya memandu arah dalam perbualan telefon kami itu. Menyuruh dia pergi ke satu bahagian di kompleks mahkamah. 

Saya menjenguk ke kawasan sekitar namun kelibatnya langsung tidak kelihatan. Yang ada hanya muka-muka yang tidak saya kenal. Sebelum ini saya pernah berjumpa dengannya sekali semasa dia mengikut kawannya ke pejabat saya. Oleh itu raut mukanya masih saya ingat dan boleh kenal lagi.

"You ada dekat mana? Tak ada nampak pun," tanya saya dengan rasa pelik. Mustahil saya tidak nampak kalau dia sudah sampai ke tempat yang saya maklumkan kepadanya tadi.

"Betul saya sudah sampai. Macam yang you cakap la. Betul la mahkamah. Mahkamah Syariah kan?"

No comments:

Post a Comment