Monday, July 4, 2016

Hedonistik Satu Syawal

Beberapa hari lepas semasa membelek-belek helaian senaskah akhbar tempatan saya melihat begitu banyak iklan-iklan yang mempromosikan jualan kenderaan motor sempena dengan kedatangan Syawal yang akan menjelang beberapa hari sahaja lagi.

Saya pasti iklan-iklan ini tidak akan dipandang sepi oleh pembaca-pembaca sekalian. Bahkan saya sendiri juga tidak terlepas menelaah halaman-halaman iklan tersebut. Mana mungkin tidak tertarik dengan promosi-promosi sempena Hari Raya ini.

Dapat berhari raya dengan sepasang baju Melayu baharu pun boleh membangkitkan perasaan syok sendiri apatah lagi kalau dapat berhari raya dengan sebuah kereta baharu yang masih tidak hilang lagi bau kilangnya.

Fenomena dan suasana ini bukan hanya kebetulan. Trend sebegini sudah menjadi kebiasan kebelakangan ini. Bahkan dalam keadaan rakyat Malaysia terbeban dengan pelaksanaan GST dan yang paling terbaharu kenaikan harga petrol para pengeluar kenderaan motor jenama tempatan dan juga jenama antarabangsa masih mampu merencanakan penjualan produk-produk mereka ini tatkala musim perayaan. Tanpa gagal. Ini sama sekali disokong oleh dorongan dan permintaan oleh masyarakat sendiri. Tanpa permintaan mana mungkin ada pengeluaran.

Kalau dahulunya mungkin setakat menukar rim sukar kenderaan masing-masing untuk tampak lebih ranggi dan kedepan tatkala pulang ke kampung. Tapi kini ianya telah menjadi satu adat dan budaya baharu menjelang aidilfitri. Membeli dan/atau menukar kereta baharu menjelang sambutan perayaan Aidilfitri. Saya tidak pasti bila idea sebegini diangkat menjadi satu budaya tatkala menjelang Syawal.

Tidak dapat tidak kepulangan ke kampung dengan sebuah kereta baharu akan membuat kepulangan tersebut lebih bermakna kerana simbolik kepada sesebuah kejayaan bagi seorang Melayu adalah terletak pada keretanya.


* Artikel ini diambil daripada penulisan saya pada Ramadhan tahun lepas. Adakah tahun ini samanya juga seperti tahun lepas adanya?

No comments:

Post a Comment