Wednesday, July 27, 2016

Makan Malam Yang Istimewa

Alunan riffing gitar Johny Ramone meletup-letup di gegendang telinga saya. Membangkitkan adrenalin di petang hari itu. Padu dan mantap sekali. Bagi saya. Lagu-lagu lain kemudiannya silih berganti berputar daripada ipod yang saya letakkan di sebelah meja kerja saya. Lambakan fail-fail yang mengandungi kertas-kertas bernombor membuatkan mata sekali sekala menjadi redup.

Saya perlu menyiapkan kesemua deraf untuk surat-surat tuntutan yang kemudiannya akan disemak oleh peguam-peguam yang lain. Itu antara tugasan-tugasan yang diberikan kepada saya selaku sebagai salah seorang pelatih dalam kamar di firma guaman yang terletak di tingkat 32 di sebuah menara berhadapan Jalan Sultan Ismail.

Sedang sibuk mengetuk papan kekunci di hadapan saya tiba-tiba telefon Nokia yang sudah beberapa tahun setia dengan saya sejak zaman pengajian lagi itu bergegar-gegar. Ada tanda mesej yang masuk. Saya memeriksa mesej yang baharu masuk itu sambil menyandarkan badan di kerusi.

"Malam ni nak makan apa? Aku masak," tertera mesej daripada rakan serumah saya. Begitu yakin sekali bunyinya. Rakan serumah saya itu juga menjalani latihan dalam kamar cumanya kami berbeza firma. Secara jujur saya belum pernah merasa masakannya. Kalau dilihat daripada gayanya saya agak sedikit skeptikal dengan pertanyaannya itu. Bolehkah dia memasak? Kalau setakat goreng telur itu mungkin saya yakin dia boleh. Tapi masakan lain? Entahlah.

"Boleh. Hang nak masak apa malam ni?" balas saya dengan penuh rasa teruja.

"Masakan yang special punya la. Takpa nanti kita beli barang-barang di kedai runcit di bawah."

Saya mengiyakan sahaja rancangan kawan serumah saya itu. Rasa tidak sabar juga saya hendak menikmati makan malam yang istimewa hasil air tangannya. Perut pun tiba-tiba rasa berkeroncong bila memikirkan perihal makan.

Habis sahaja waktu kerja saya bergegas untuk balik. Seiring dengan warga kota yang lain berasak-asak dalam tren untuk pulang ke rumah masing-masing sebelum mengulang balik rutin hari ini esok untuk kesekian kali yang keberapa pun saya tidak pasti. Orang putih kata that's life.

Hampir setengah jam dalam tren saya sampai ke destinasi saya di pinggir ibu kota di mana saya menghuni bersama rakan-rakan saya yang lain. Sebuah kawasan yang dihuni oleh wargakota yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan warna kulit.

Saya menapak ke kawasan tempat tinggal kami yang terletak tidak jauh daripada stesen tren itu. Dalam 10 minit berjalan kaki sahaja. Telinga saya masih tersumbat dengan 'ear-phone' yang disambung terus ke ipod saya itu. Cumanya kala itu seleksi lagu dalam playlist agak sedikit ringan. Yang jenis melankoli melantun. Sekurang-kurangnya dapat melunturkan rasa serabut dek aktiviti seharian.

Sebaik menjenguk di pintu rumah sewa kami kawan saya itu sedang ralit menyiapkan kelengkapan untuk memasak. Menyiang ikan dan sebagainya. Sempat saya menjeling dia di dapur. Nampak begitu bersemangat sekali gayanya dengan baju singlet pagoda masih lekat di badan.

Saya melontarkan beg kerja ke dalam bilik dan hanya membiarkan sahaja rakan serumah saya itu meneruskan aktiviti memasaknya itu. Tidak sabar saya menunggu masakannya itu siap dimasak. Menikmati masakan yang masih panas dimasak memang amat menyelerakan apatah lagi di kala keadaan perut yang sedang kosong ini. Boleh menitik air liur kalau kena gaya lauk pauk yang dimasak.

Lama juga saya menunggu rakan serumah saya itu memasak. Akhirnya hidangan makan malam kami pun siap. Malam itu saya dengan lahapnya menikmati hidangan masakan malam yang istimewa daripada rakan serumah saya itu iaitu ikan kembung goreng masak kicap dan sayur kangkung goreng. Hidangan istimewa untuk para lelaki bujang seperti kami.

No comments:

Post a Comment