Thursday, July 21, 2016

Kes Yang Tidak Menyebelahi

"You must be prepared when you take a brief," tegur yang Arif Hakim yang mengetuai panel rayuan yang bersidang tadi dalam nada tegas.

Saya mengganguk faham dan mengiyakan kata-katanya. Saya terpaksa memohon satu tarikh yang baharu bagi kes yang telah diserahkan kepada saya ini oleh Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. Alasannya adalah untuk memasukkan satu petisyen rayuan bagi kes ini.

Petisyen yang merangkumi perkara-perkara yang akan dirayu berbangkit daripada keputusan yang telah diputuskan oleh hakim-hakim di  Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Anak guam dalam kes ini telah pun disabitkan dengan kesalahan dibawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dah telah dijatuhkan hukuman pemenjaraan selama 18 tahun dan dengan tiga kali sebatan. Rayuannya sebelum ini telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan oleh yang demikian dia merayu lagi ke peringkat Mahkamah Rayuan.

Yang mana sebelum ini dia diwakili oleh dua peguambela yang berlainan di peringkat perbicaraan di Mahkamah Sesyen dan peringkat rayuan di Mahkamah Tinggi.

Agak mencabar mengendalikan kes rayuan yang sudah pun kalah 2-0 di mahkamah bawah sebelum ini. Ditambah apabila saya meneliti rekod rayuan dan mendapati yang kes rayuannya di Mahkamah Tinggi yang telah ditolak sebelum ini telah didengar dihadapan Yang Arif Hakim yang saya kira agak mempunyai leniency terhadap kes-kes yang dibicarakan dihadapannya.

Ini berdasarkan pengalaman saya yang sebelum ini pernah mengendalikan rayuan dihadapan Yang Arif Hakim tersebut. Dalam alasan penghakimannya di perenggan akhir tertulis, "Perayu ini tidak menunjukkan sebarang tanda keinsafan dan oleh yang demikian sebarang mitigasi dan hujahan berkenaan dengan pengurangan hukuman tidak patut diterima."

Berat pada pandangan saya kalau Yang Arif Hakim sebelum ini berpandangan dan berpendapat sebegitu. Bagaimana agaknya pertimbangan barisan panel Yang Arif-Yang Arif Hakim Yang Bijaksana pula kelak?

Penuh dengan segala kemungkinan. Yang pasti sabitannya ke atas pertuduhan merogol anak saudaranya yang berumur 14 tahun lebih semasa tarikh kejadian bukanlah satu fakta yang memberikan kelebihan kepadanya dan juga peguambela-peguambelanya sebelum ini.



No comments:

Post a Comment