Friday, December 16, 2016

Saman Trafik

Sebaik keluar daripada bilik mahkamah saya terlihat beberapa orang anggota polis trafik sedang mengawal sekumpulan pesalah trafik yang baharu dibawa ke mahkamah untuk dituduh. Kesemuanya pesalah trafik warga asing yang kesemuanya langsung tidak memiliki lesen kenderaan.

"Untuk warga asing yang ditahan tanpa lesen kami bawa terus ke mahkamah untuk dituduh. Kenderaan kami sita," maklum salah seorang anggota berpangkat koperal.

Saya lihat kebanyakan mereka agak risau memandangkan mereka telah diterangkan berkenaan dengan anggaran jumlah denda yang bakal dikenakan kepada mereka oleh mahkamah sebentar lagi.

Cuma ada seorang yang tenang dan nampak seperti tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan. Saya menghampiri lelaki yang memakai snow cap dan berseluar jeans pendek separa lutut itu.

"Mana kena tahan?" tanya saya memulakan perbualan.

"Itu Bukit Jelutong sana boss. Mau pergi kerja. Sikit lagi mau sampai itu tempat kerja."

"Sana kerja apa?" sambung saya lagi.

"Cuci kereta juga ada kerja," jawab dia dalam loghat yang tersendiri.

"U punya sendiri kan itu cuci kereta?" saya cuba memancing lelaki tersebut. Ada sebabnya saya sengaja pergi berbual dengan lelaki warga asing tersebut. Dia hanya tersenyum sambil melihatkan giginya yang putih itu.

Saya mula mengeluarkan telefon dan membuka aplikasi kalkulator. Seterusnya saya tanyakan soalan-soalan berkenaan perkara berikut kepada dia dan mula membuat perkiraan.

Pendapatan harian secara purata adalah RM400 selama 30 hari setiap bulan. Menjadikan pendapatannya secara kasar adalah RM12,000. Setelah ditolak dengan:

2 orang pekerja dengan gaji RM1200/bulan untuk seorang, sewa tapak RM3500, sewa rumah RM600 dan perbelanjaan harian RM1000.

Maka pendapatan bersihnya adalah sebanyak RM4500. Setakat hendak membayar saman untuk kesalahan trafik apalah sangat kan?


No comments:

Post a Comment