Saturday, December 3, 2016

Bukan Tembikai Sahaja Yang Mahal

Jam di papan nombor elektronik menunjukkan angka pukul satu lima belas minit tengahari. Walaupun begitu beberapa kaunter bahagian pembayaran di mahkamah masih tetap dibuka untuk urusan pembayaran bagi orang awam yang berurusan di mahkamah. Sambil menunggu untuk giliran saya membuat bayaran di kaunter bayaran tersebut saya berlegar-legar di ruang hadapan kaunter.

Sempat saya menegur salah seorang kakak di bahagian kaunter bayaran yang sedang berehat.

“Takkan gaji baru masuk dah muram kak,” usik saya kepada kakak berkenaan.

“Pening ni. Fikir pasal perbelanjaan anak-anak sekolah.”

Pening dia memikirkan berkenaan dengan harga buku teks yang naik berkali ganda daripada tahun-tahun sebelumnya. Itu tidak termasuk perbelanjaan lain yang berkat dengan persekolahan anak-anaknya. Mengeluh panjang dia. Tidaklah langsung tidak berkemampuan katanya. Tetapi dalam keadaan ekonomi sekarang agak terasa bebannya. 

………………………

Tembikai yang baharu dibeli semasa balik tadi saya jamah dengan penuh kenikmatan sekali sambil menonton televisyen. Potongan-potongan tembikai yang telah dihiris cantik itu memercikkan air manisnya tatkala dicarik oleh gigi saya. Sepatutnya kenikmatan tembikai yang merah berair ini saya nikmati lebih awal lagi. Usai solat Jumaat tadi sempat saya menjengah ke sebuah pasaraya untuk membeli buah kegemaran saja. Namun niat tersebut saya simpan sahaja sebaik melihat harganya adalah dua kali ganda daripada harga yang saya beli pada minggu lepas. Lagi pun ianya bukanlah satu keperluan kepada saya pun. Cuma hanya kehendak. 

Sambil menghabiskan hirisan-hirisan tembikai yang berbaki, isteri saya yang sememangnya duduk di sebelah sejak tadi tiba-tiba bersuara sambil matanya menatap telefon di tangannya.

Teacher bagitau yuran anak-anak ada naik. Tolong kira sekejap semuanya berapa.” 

Saya memasukkan angka demi angka yang diberikan oleh isteri saya itu dengan penuh gelisah ke dalam telefon saya sambil menekan butang-butang nombor.

“Dah? Darab dengan dua tengok,” sambung isteri saya menghabiskan kata-katanya.

Terus saya mencongak di dalam kepala dengan pantas. Sepantas itu juga kemanisan tembikai di dalam mulut secara perlahan-lahan terasa tawar. Hilang habis manisnya.

Bukan tembikai sahaja yang mahal.


No comments:

Post a Comment