Monday, December 19, 2016

Keredhaan

Pagi ini selepas mahkamah menunda kes perbicaraan maka ahli keluarga anak guam saya mengajak saya minum di kantin mahkamah. Sambil membasahkan tekak sambil berbincang berkenaan dengan perjalanan kes anak guam saya itu.

Anak guam saya ini dituduh bersama dengan tiga orang lagi rakan-rakan yang mana mereka ini telah ditahan reman sejak dari tahun 2014. Nampak gayanya kes ini akan berlanjutan ke tahun 2017 pula.

Baharu-baharu ini pula salah seorang daripada mereka telah dijangkiti penyakit tibi yang mana sangat menjejaskan kesihatan rakan itu. Bahkan semasa di dalam mahkamah Yang Arif Hakim turut menyedari akan masalah kesihatannya itu. Ternyata berat badannya menyusut dengan banyak sekali. Sepanjang awal kes lagi rakan ini tidak dapat menerima kejadiaan yang berlaku ke atas dirinya. Keadaan itu sedikit sebanyak memakan dirinya.

Itu antara topik perbualan saya dan ahli keluarga anak guam saya tadi. Saya mengatakan adalah perlu bagi tertuduh bagi kes-kes yang melibatkan capital punishment sebegini yang berada dalam tahanan reman untuk redha dengan apa yang berlaku.

Namun salah seorang daripada rakan anak guam saya yang hadir tidak bersetuju. "Kalau tuan sendiri boleh ke terima duduk dalam penjara?" Kasar bunyinya.

Terang saya. Maksudnya perlu menerima bahawa mereka terpaksa berada dalam penjara sementara kes mereka dibicarakan sehingga selesai. Kerana saya percaya itu lebih membantu mereka untuk fokus kepada perjalanan kes selanjutnya. Lagi pun mereka ini bukanlah lagi disabitkan dengan kesalahan. Salah atau tidak belum lagi diputuskan. Selagi kes mereka belum lagi selesai maka meringkuklah mereka direman dalam penjara. Itulah realitinya.

Walaupun kes pada hari ini tidak dapat berjalan dan akan disambung pada tahun hadapan saya lihat anak guam saya dan keluarganya menerimanya dengan tenang. Saya percaya mereka telah belajar menerima.

Walaupun dalam kehidupan ini kita mungkin bukanlah seorang pemuja Tuhan tapi dalam sesetengah waktu dan ketika 'faith' itu satu-satu perkara yang kita boleh sandarkan. Mungkin.

No comments:

Post a Comment