Wednesday, March 16, 2016

Amanlah Di Sana

Kali pertama berjumpa dengan anak guam saya ini tidak ada apa-apa yang nampak pelik daripada perawakan dan perwatakannya. Gaya pertuturan dan juga percakapan beliau dengan saya juga sopan dan penuh adab. Nampak sosok seorang lelaki yang sihat.

Anak guam saya ini dituduh untuk satu kesalahan dibawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompak berkumpulan secara bersenjata.


Lama kemudian saya mendapat tahu daripada beliau sendiri bahawa beliau merupakan seorang penghidap HIV/Aids. Saya difahamkan beliau menghidap HIV/Aids akibat daripada kegiatan beliau menghisap dadah sebelum ini. Beliau merupakan seorang bapa tunggal yang mana beliau mempunyai seorang anak lelaki.

Sepanjang sebutan kes beliau di mahkamah beliau akan ditemani oleh anak lelaki dan ibu beliau. Nampak kepetahan dan kelincahan anak kecil tersebut yang tidak mengetahui apa-apa. Si ibu yang tua pula di tangan tidak pernah lepas memegang senaskah al-quran kecil dan mulut yang tidak henti membaca menyebut nama Tuhan Yang Esa.

Sepanjang kes sebutan berjalan keadaan kesihatan anak guam saya mula menurun. Penjamin iaitu ibu beliau yang terpaksa hadir. Berulang-aling dengan kenderaan awam daripada rumah mereka ke mahkamah. Untuk beberapa kali beliau tidak dapat menghadirkan diri ke mahkamah sehinggalah mahkamah memberikan satu tarikh akhir untuk beliau hadir. Hatta jika perlu diusung ke Mahkamah pun Mahkamah tidak mengapakan asalkan beliau hadir.

Akhirnya beliau dapat dibawa ke mahkamah pada tarikh yang ditetapkan. Daripada seorang lelaki segak dan sihat yang saya temui kali pertama sehingga kepada keadaan beliau yang amat daif yang saya kira menunggu hari sahaja. Nampak beliau pasrah dan redha dengan keadaan beliau. Tidak ada sebarang keluhan. Mungkin menerima qada’ dan qadar beliau dengan dada yang terbuka.

Melihat kepada keadaan ank guam yang dalam keadaan begitu saya telah membuat satu permohonan kepada Mahkamah untuk melepaskan anak guam saya. Setelah meneliti fakta kes dan juga atas dasar kemanusiaan Mahkamah telah melepaskan anak guam saya dengan amaran.

Itu lima tahun yang lalu. Selepas daripada kes itu saya tidak lagi berhubung dengan beliau.

No comments:

Post a Comment