Monday, March 21, 2016

Pengalaman Ke Kuala Terengganu

Setiap orang mempunyai pengalaman masing-masing yang tidak dapat dilupakan. Saya juga mempunyai satu pengalaman yang tidak akan dapat saya lupakan. Peristiwa ini berlaku pada hari pada akhir tahun 2009. Namun sehingga ke hari ini peristiwa itu masih menghantui diri saya. Saya menjadi fobia.

Ceritanya bermula pada satu pagi minggu bekerja yang hening. Saya ada urusan penting di Kuala Terengganu. Sebenarnya urusan itu adalah urusan bos saya. Oleh kerana saya bekerja dengan bos saya maka urusan bos saya secara rasminya menjadi urusan saya. Saya berasa sungguh gembira kerana dapat pergi outstation.

 
Saya pergi menaiki kapal terbang. Tapi saya tidak naik kapal terbang AirAsia. Kapal terbang AirAsia tak berapa seronok. Tidak ada air oren. Kapal terbang Firefly ada air oren dengan muffin. Saya suka air oren dan muffin. Siap boleh minta dua cawan. Jadi saya naik kapal terbang Firefly. Lagi pun Firefly dekat dengan rumah saya. Saya tidak perlu bangun awal untuk check in di airport. Saya sangat senang hati kerana tidak perlu bangun awal.

Sampai di airport saya pun check in di kaunter. Orang agak tidak ramai. Bukan macam di LCCT. Dah macam Puduraya pun ada LCCT. Bila sudah selesai urusan check in saya pun masuk ke ruang menunggu. Saya tunggu untuk naik kapal terbang. Saya tunggu dengan penuh santai sambil membaca suratkhabar.

Sebenarnya saya tidak baca sangat. Tapi saya tengok orang baca jadi saya pun baca. Nanti apa pandangan penumpang-penumpang lain terhadap saya. Saya tidak mahu menjadi buah mulut penumpang-penumpang lain di pagi yang hening itu.

Masa untuk naik kapal terbang ada lebih kurang 15 minit sahaja lagi. Tiba-tiba dengan tidak disangka-sangka perut saya berasa kurang enak. Saya mengambil keputusan drastik dengan pergi ke tandas yang berdekatan. Keadaan agak genting dan cemas ketika itu. Tapi saya dapat mengawal situasi itu dengan lancar sekali kerana ini bukanlah pertama kali saya mengalami situasi sebegini.

Sampai di tandas yang penuh dengan pakcik-pakcik dan brader-brader lain yang saya syak mengalami simptom yang sama seperti saya ini maka saya pun melangkah masuk dengan kaki kiri. Ustaz saya di sekolah dulu cakap kalau masuk tandas kena dengan kaki kiri.

Saya terus mencari tandas yang kosong. Ada satu tandas yang kosong. Saya pun masuk. Juga dengan melangkah dengan kaki kiri dahulu. Alangkah bagusnya saya fikir jika Ustaz saya itu berada di situ. Mesti dia berasa gembira melihat saya mempraktikkan apa yang beliau ajarkan kepada anak muridnya.

Rutin orang yang waras kalau nak 'membuang' mesti membuka seluar. Saya pun tidak terkecuali sebab saya seorang yang waras. Selepas 'membuang' perasaan saya sangat gembira dan girang sehinggakan saya berasa ingin menegur jiran sebelah jamban saya. Tapi tidaklah pula saya berbuat demikian demi menjaga nama baik saya.

Setelah selesai semua saya pun hendak pakai seluar saya semula. Saya pun pakai. Tidak ada sebarang masalah kerana saya pakai seluar saya sendiri dan bukannya seluar jiran tandas sebelah. Langkah terakhir setelah saya menyarungkan seluar saya adalah zipkan seluar. Lagipun takkan nak biarkan seluar tidak di zip.

Buruk benar perangai kalau macam tu. Lagi pulak tak elok mengganggu keharmonian airport di pagi hari. Tiba-tiba zip seluar saya tersangkut. Saya cuba tarik dengan sekuat hati. Malangnya zip tersebut terus menjadi rosak.

Saya panik. Tiba-tiba lagi sekali saya dengar pengumuman dari corong pembesar suara menyuruh penumpang ke Kuala Terengganu untuk menaiki pesawat. Saya bertambah panik. Memang betul-betul panik yang amat sangat. Tidak dapat saya gambarkan perasaan saya pada ketika itu. Saya takut terlepas kapal terbang.

Kalau bas boleh juga kejar sambil ketuk-ketuk pintu bas suruh berhenti. Saya cuba membetulkan zip seluar saya. Saya cuba untuk tidak berputus asa. Akhirnya saya berjaya. Fuh! Saya mengeluh. Kelegaan dan kegirangan yang amat sangat. Lebih daripada kelegaan dan kegirangan selepas saya 'membuang' tadi.

Saya bergegas menuju ke pintu pelepasan. Saya sempat naik kapal terbang. Saya berasa sangat gembira. Dapatlah saya menikmati air oren dan muffin sambil menikmati keindahan pagi. Itulah pengalaman yang tidak dapat saya lupakan.

No comments:

Post a Comment