Tuesday, March 15, 2016

Tuan Haji

Saya mengendalikan satu kes dadah di mana anak guam saya telah dituduh dibawah Seksyen 39(A)(2) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukan hukuman penjara seumur hidup atau untuk suatu tempoh tidak kurang daripada lima tahun, dan juga akan dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada sepuluh sebatan jika sabit kesalahan.

Memandangkan pertuduhan untuk seksyen ini adalah dibawah kesalahan yang tidak boleh dijamin makanya anak guam saya ini terpaksa di reman di Penjara Sungai Buloh selama tempoh perbicaraan kes beliau ini selesai.

 
Anak guam saya ini adalah seorang anak muda dalam lingkungan pertengah 20-an dan merupakan seorang anak bongsu. Jadi tidak hairanlah setiap kali sebutan kes beliau di mahkamah kelibat ibu dan ayah beliau yang masing-masing tua dan uzur akan kelihatan di mahkamah. Yang si ibu walaupun tua masih mempunyai kudrat namun si ayah setiap kali datang dalam keadaan bertongkat dan dipimpin oleh si ibu.

Selepas laporan kimia diperolehi dan berat bersih dadah telah pun diketahu maka bermulalah episod perbicaraan untuk kes beliau. Turut dituduh bersama beliau adalah kenalan wanita beliau yang turut diwakili oleh rakan bijaksana yang lain.

Tarikh demi tarikh berlangsung perbicaraan untuk kes ini sehinggalah ke satu hari selepas kes perbicaraan beliau ditunda untuk satu tarikh lain saya mendapat panggilan telefon daripada ibu anak guam saya ini memaklumkan satu berita sedih.

“Assalamualaikum. Makcik nak bagitau ni yang pakcik dah meninggal dunia,” beritahu satu suara yang kedengaran lemah di hujung talian.

“Innalillahiwainnailaihirajiun,” itu sahaja yang saya mampu ucapkan.

Khabarnya selepas habis sesi perbicaraan semalam ayah anak guam ini telah rebah di mahkamah dan selepas itu terus tidak sedarkan diri dan kemudiannya telah menghembuskan nafasnya terakhir.

Berita kematian ayah tercinta memberikan kesan yang mendalam kepada anak guam saya ini. Membuatkan beliau tambah tertekan.

Selepas beberapa kali turun naik mahkamah untuk perbicaraan saya dan rakan bijaksana saya mendapati bahawa tidak terdapat bukti-bukti yang kukuh untuk meneruskan perbicaraan walaupun saksi-saksi utama telah dipanggil untuk memberikan keterangan.

Satu representasi telah dibuat kepada pihak pendakwaan untuk menggugurkan kes ini. Maka tibalah hari untuk keputusan. Anak guam saya dan kenalan wanita beliau bernasib baik kerana mahkamah telah melepaskan dan membebaskan meraka berdua. Selesai sudah tugas saya sebagai peguambela beliau.

Sebelum keluar daripada mahkamah saya berjumpa dengan ibu anak guam saya dan memberitahu bahawa kes anaknya telah selesai. Anaknya boleh pulang untuk bersama dengannya semula. Sebuah perkhabaran yang indah setelah hampir setahun menunggu.

Sambil tersenyum ibu anak guam saya ini memberitahu, “Makcik pergi jumpa satu Tuan Haji ni...mintak tolong pasal kes ni. Mintak kunci mulut. Itu yang boleh buang kes ni."

Sambung dia lagi, “Lepas ni Makcik nak bawak anak Makcik ni pergi mandi dengan Tuan Haji tu, Encik pun kena mandi juga sekali, buang apa yang patut.”

Saya senyum dan terus keluar daripada mahkamah. Jalan laju-laju.

No comments:

Post a Comment