Thursday, March 24, 2016

Minum Petang

Jam menunjukkan angka lebih kurang pukul enam. Mata pun dah hampir layu dek mengadap skrin komputer. Semuanya gara-gara untuk menyiapkan beberapa kerja yang tertangguh sebelum ini. Sedar tak sedar perut pun rasa berkeroncong. Rasa kosong. Nasi putih dengan ikan kembung masak kicap yang saya makan lewat tengahari tadi terasa cepat betul hadamnya.

 
Saya kerling ke bilik rakan sekerja saya melalui lapisan cermin yang memisahkan ruang antara bilik kami. Dia pun sama sibuk macam saya. Tengah mengadap timbunan-timbunan fail di atas mejanya. Nampak tekun sekali dia melakukan kerjanya.

Saya bingkas bangun daripada kerusi separa empuk yang menjadi peneman setia punggung saya selama saya mula bekerja di sini. Niat di hati ingin mengajak rakan sekerja saya itu untuk ‘mengeteh’ di kedai makan yang menjadi tempat kebiasaan saya dan rakan-rakan kami yang lain melepak selepas habis waktu kerja.

Sampai di biliknya, saya terus mengajak rakan sekerja saya itu untuk ikut saya kedai makan. Saya lihat dia masih leka dengan kerjanya itu. Memang workaholic betul mamat ni. Dia angguk. Setuju dengan ajakan saya untuk berehat sekejap sambil melepak di kedai makan biasa itu.

Sambil dia sedang menyiapkan kerjanya yang ada tinggal sedikit itu dia berkata, “ Tengok fail atas meja tu.”

Dengan muka yang sedikit bosan dan keletihan saya pun membuka fail yang berada di hadapan saya itu. Satu persatu helaian dokumen saya selak tanpa sepatah kata pun. Kemudiannya saya menutup kembali fail tersebut dengan perlahan-lahan. Saya lihat rakan saya itu tersengih.

Rupanya fail itu adalah satu fail yang membabitkan kes bunuh yang mana anak guam dituduh dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Beserta dengan dokumen-dokumen yang lain di dalam fail tersebut adalah gambar-gambar post-morten mangsa, seorang lelaki separuh umur.

Buat seketika appetite saya hilang dengan serta-merta.

No comments:

Post a Comment