Tuesday, March 22, 2016

Kuala Terengganu II

Selesai urusan kerja di sebuah agensi milik kerajaan di Kuala Terengganu saya mengambil peluang untuk berjalan-jalan di sekitar kawasan berdekatan. Orang kata kalau ke Kuala Terengganu tidak lengkap kalau tidak singgah ke Pasar Payang.

Jarak ke Pasar Payang pun saya kira tidak berapa jauh dengan tempat saya berusan tadi. Hanya lima minit berjalan kaki. Itu apa yang diberitahu kepada saya oleh seorang kakak pemilik kedai makan tadi. Zaman tu belum ada lagi applikasi seperti Waze atau pun Google Map. Jadinya masih ada ruang interaksi secara nyata antara sesama manusia walaupun untuk hal yang kecil sebegini.

 
Dari tingkat bawah saya berlegar-legar ke tingkat atas dan seterusnya memasuki lorong demi lorong. Niat hanya untuk mencuci mata sahaja.

Penat berjalan saya kembali turun ke bawah. Di pintu masuk pasar ada beberapa kelibat manusia lain yang masing-masing sedang menghentikan lelah mereka. Sambil otak saya ligat memikir tentang apa yang bakal saya lakukan seterusnya, saya capai kotak rokok yang isinya hanya tinggal beberapa batang dari dalam poket seluar.

Rokok keretek itu saya cucuh dan hisap dalam-dalam. Saya hembus keluar dengan penuh rasa kenikmatan. Aroma cenggih bercampur tembakau memenuhi ruang rongga mulut saya. Ada rasa manis-manis di hujung lidah. Sambil asyik menikmati hembusan demi hembusan ada sepasang mata yang memerhati.

Seorang lelaki tua lebih separuh abad menghampiri saya. Dia menghulurkan senyuman kepada saya. Saya senyum kembali sebagai tanda hormat.

Dia bersuara. Bertanya saya datang dari mana. Saya beritahu beliau saya datang dari Kuala Lumpur.

"Kerja apa?" tanya dia lagi. "Loyer," jawap saya pendek sambil menghabiskan rokok yang masih berbaki di tangan.

"Mesti gaji mahal ni, 3-4 ribu sebulan ni," sambungnya sambil berlalu pergi ke dalam pasar.

Saya hanya tersenyum mendengar kata-kata terakhir beliau itu. Saya aminkan dalam hati. Mudah-mudahan masin mulut orang tua ni.


No comments:

Post a Comment