Tuesday, September 20, 2016

Chechen

Saat ini tika membelek 'Haji Murat' karya Leo Tolstoy kenangan lama secara tidak langsung menerjah kotak ingatan saya. Tentang seorang kawan berbangsa Chechen yang bernama Hidzir. Satu-satu kawan Chechen yang saya kenal tempoh pengajian saya kira-kira 16 tahun yang lalu. 

Kawan yang saya kira keras fizikal dan perwatakannya. Perkenalan yang hanya bersabit daripada sebatang rokok. Tidak juga boleh dikira batang barangkali. Segulung rokok saya kira lebih tepat. Saya dan kawan saya Azam berkongsi rokok daun kami dengan Hidzir selepas dia bertanya samada kami ada mempunyai rokok ketika di koridor hostel. Terputus bekalan rokok Marlboro Light dia barang kali semasa itu. Terus kami bergegas ke bilik kami dan mendapatkan bekalan rokok daun yang memang sentiasa tersedia dan terus ke biliknya yang mana ketika itu dia hanya tinggal berseorangan dalam bilik tersebut.

"Traditional malay cigarette," kata kami sambil menghulurkan segulung rokok daun yang berintikan tembakau jawa cap Misai Bin Seong yang didatangkan terus dari pekan Tunjang. Bekalan yang jarang putus daripada Azam.

Dua tiga kali sedutan ternampak riak wajah Hidzir agak berkerut. Diteruskan juga menghabiskan rokok tersebut. Mana mungkin dia hendak menunjukkan dia lemah. Dia orang Chechen. Malu dia hendak mengaku kalah kepada kami. Ketawa kami melihat perangai budak 'foreigner' yang kami baharu kenal itu yang seterusnya menjadi kawan kami untuk beberapa lama selepas itu.

Pernah satu tengahari ketika saya menapak pulang dari kuliah menuju ke kafeteria hostel terdengar riuh rendah entah dari mana puncanya. Dengan tiba-tiba saya ternampak beberapa orang kenalan pelajar yang merupakan tauke kereta sewa sedang mengejar Hidzir. Keadaan ketika itu agak kelam kabut. Habis segala apa perkakasan yang ada di sepanjang koridor yang berbumbung itu dicapai dek mereka. Tidak terkecuali juga Hidzir pun turut mencapai apa yang ada berdekatannya.

Dalam keadaan yang lintang pukang itu di satu kawasan lapang berhadapan satu blok hostel saya lihat kelibat Hidzir terhenti. Dia berada dalam kepungan. Beberapa orang yang mengejarnya tadi sedang mengelilinginya. Manakala ditangannya ada sebatang pencakar sampah yang mungkin sempat disambarnya semasa dikejar tadi. Dia kemudiannya diasak oleh mereka yang lain tadi.

Tergamam saya melihat kejadian yang tidak disangka itu. Tetapi saya lihat Hidzir seperti tidak ada apa-apa pun walaupun dia hanya berseorangan dan diasak oleh mereka yang beramai tadi. Kejadian tersebut berakhir di situ sahaja selepas Hidzir diberikan amaran untuk tidak bersikap kurang ajar dengan mereka lagi. Saya lalu terus ke kafeteria menyambung niat untuk mengisi perut yang kosong sejak daripada pagi lagi. Tidak perlu dirisaukan akan hal dia. Dia orang Chechen setakat benda sebegitu saya percaya tidak ada apa sangat pada dirinya. Sebelum ini pernah dia menceritakan kepada saya dan kawan saya tentang Chechnya dan kehidupan di sana lebih mencabar dan menuntut kepada satu daya  hidup yang tinggi.

Pernah juga ketika satu Jumaat tatkala si khatib membaca doanya meminta supaya diberikan kemudahan dan kejayaan kepada saudara-saudara seIslam di negara-negara bergolak seperti di Palestin, Iraq dan beberapa negara lain. Sedikit terkilan pada diri Hidzir kerana dalam doa tersebut tidak turut menyebut akan negaranya Chechnya. Namun diterangkan oleh rakan Chechennya bahawa dalam doa tersebut si khatib turut menyebut "Fi kulli makaan" yakni merujuk kepada negara dan juga tempat bergolak yang lain. Baharulah ternampak sedikit kelegaan pada riak wajahnya.

Keberanian dan kecekalan perjuangan bangsa Chechen disaksikan sendiri oleh Leo Tolstoy di perbatasan yang mana dinukilkan pada karyanya Haji Murat ini. Tetapi saya hanya menyaksikan dan melihat watak bangsa Chechen itu pada diri Hidzir dan juga rakan-rakan senegaranya.

Itu hanya secebis pengalaman saya. Saya tidak pasti apa yang berlaku kepada Hidzir selepas pengajian. Samada dia pulang ke tanahairnya atau pun berkelana di mana-mana negara yang secocok dengannya. Moga semangat dan perjuangan bangsa Chechen itu masih kukuh dalam dirinya sepertimana kukuhnya semangat Haji Murat dalam naskah Leo Tolstoy ini.

No comments:

Post a Comment