Monday, September 19, 2016

Apa Ada Pada Mimpi

Mimpi itu adalah satu benda biasa yang acapkali berlaku ketika proses tidur berlaku. Kata orang juga mimpi itu adalah mainan tidur. Jangan diambil pakai sangat segala akan intipatinya. Itulah juga yang saya pegang akan perihal mimpi ini. Tidak ada apa yang seriusnya akan sesuatu mimpi itu.

Cumanya ada satu kali itu saya ada menerima satu kes yang melibatkan permasalahan dan perebutan akan hal harta yang mana melibatkan antara sesama kaum keluarga. Sebagai seorang pengamal undang-undang tidaklah menjadi agenda saya untuk menyebelahi mana-mana pihak cumanya saya lebih menitikberatkan akan hak-hak mereka yang terlibat dalam permasalahan ini. Saya hanyalah sebagai pemudah cara sahaja. Tidak lebih daripada itu.

Selang tidak beberapa lama kemudian atas kehendakNya maka bermimpilah saya akan satu mimpi ini yang mana saya tidak tahu akan apa maknanya mimpi tersebut. Cumanya dalam mimpi saya itu ada seekor ulat seakan ulat bulu atau ulat beluncas yang berada di atas lengan saya sambil cuba untuk mengorek masuk ke dalam bahagian lengan saya itu. Perkara itu sahaja yang melanda saya dalam mimpi tersebut. 

Langsung tidak ada apa yang peliknya dan saya hanya menganggap itu hanyalah mainan tidur sahaja. Lagi pun banyak lagi mimpi-mimpi yang berpaksikan akan perkara yang lebih teruk pernah saya alami pada sebelum ini.

Perkara itu saya biarkan berlalu begitu sahaja. Tidak langsung diambil enteng oleh saya. Sehinggalah satu hari ketika saya berbual secara santai dengan rakan kongsi saya yang secara tiba-tiba berkongsi akan mimpi yang dialaminya. Dia menceritakan kepada saya bahawa pada satu malam beberapa hari sebelum ini dia ada bermimpi dia diharung oleh sejenis serangga seakan ulat bulu. Dia sendiri pun tidak pasti sebenarnya apa maksud mimpi tersebut. 

Namun apa yang membuatkan dia menjadi pelik dan menceritakan akan perkara ini kepada saya adalah kerana menurutnya salah seorang peguam di dalam firma kami turut mengalami mimpi yang sama. Pelik pada pandangan dia. Saya yang memdengar ceritanya pun lagi bertambah pelik. Mahu tidaknya bila memikirkan tiga orang yang terlibat mengendalikan kes itu mengalami mimpi yang sama.

No comments:

Post a Comment