Tuesday, September 20, 2016

Kena Lagi

Sedang saya berjalan menuju ke arah bilik mahkamah saya terserempak dengan salah seorang pegawai polis berpangkat ASP yang saya kenali sedang dalam urusan untuk menghadiri prosedur reman. Peluang itu saya gunakan untuk bertanya kepadanya akan kes anak guam saya yang baharu sahaja ditangkap pada hari sabtu hujung minggu yang lalu.

"Tuan.. Boleh check tengok sorang client saya kena tangkap hari Sabtu hari tu," saya memaklumkan kepada pegawai polis tersebut.

Selepas saya memberikan nama anak guam saya itu dia pun memaklumkan bahawa dialah yang membuat permohonan reman untuk anak guam saya itu. Ada dua kes katanya dan mengikut siasatan pengecaman ke atas anak guam saya itu positif.

Kalau diikutkan tidaklah saya hendak mengambil kisah sangat akan kejadian tangkapan anak guam saya yang terbaharu ini. Ya. Yang yang terbaharu. Ini adalah kes dia yang ketiga walhal dia ada satu kes yang masih berjalan. Satunya sudah pun selesai. Tinggal satu lagi kes yang sepatutnya menjalani perbicaraan pada minggu lepas. Duduk tidak duduk tiba-tiba saya dimaklumkan oleh ibunya pada sabtu lepas akan tangkapan yang terbaharu ini. 

Kalau bukan janji saya kepada ibunya untuk memaklumkan akan perihal tangkapan terbaharu ini tidaklah saya hendak ambil pusing. Sebaik sahaja selesai berhubung dengan ASP tersebut saya pun terus menghubungi ibunya. Sebaik panggilan disambut saya pun memaklumkan kepada ibu anak guam saya itu.

"Salam kak. Dia kena tangkap untuk dua kes. Samun dan rogol. Jadinya kes ni akan dituduh di mahkamah sesyen. Disebabkan akan ada dua pertuduhan jadi kak standbylah dalam 20 ribu untuk nak jamin nanti."

No comments:

Post a Comment