Thursday, October 6, 2016

Gunung Jerai

Saya tidak ingat secara tepat tahun ke berapa tetapi yang pasti saya kira ianya adalah di awal tahun 2000. Selepas Y2K. Di mana pada ketika itu saya dan adik saya menerima ajakan daripada seorang kenalan ayah saya. Abang Shukor yang kami panggil Abang Koq. Ajakan untuk turut serta mendaki Gunung Jerai memandangkan dia akan membawa beberapa orang pelajar dan tenaga pengajar daripada salah satu institusi pengajian tinggi di Kedah. Abang Koq memang penduduk di kaki Gunung Jerai dan pada masa lapangnya mengambil upah menjadi penunjuk jalan bagi pihak yang ingin menjalankan aktiviti rekreasi di sekitar Gunung Jerai

Peluang yang memang tidak dilepaskan oleh saya dan adik saya tambahan semuanya akan disediakan oleh Abang Koq. Kami hanya membawa diri kami dan keperluan kami sahaja. Lagi pun saya sendiri tidak pernah meneroka Gunung Jerai jadi ini adalah peluang yang jarang kedapatan.

Setelah bermalam semalaman di rumah Abang Koq kami keesokannya memulakan perjalanan ke puncak Gunung Jerai bermula daripada satu kawasan yang berdekatan dengan kawasan kampung Abang Koq sambil ditemani oleh anak saudaranya. Kumpulan kami keseluruhannya adalah dalam lapan orang kalau tidak salah saya.  

Perjalanan menyelusuri denai-denai kecil daripada kaki gunung menggamit rasa lapang walaupun agak bermandi peluh. Sekali sekala kumpulan kami berhenti untuk melepaskan lelah. Perancangan kami adalah untuk bermalam di kawasan jeram yang terletak di bahagian tengah Gunung Jerai sebelum menuju ke puncak pada keesokan harinya. 

Kami sampai di satu kawasan berbatu yang saya kira begitu cantik sekali keindahan yang pada kawasan sekitar ditambah dengan jeram yang begitu jernih sekali air. Abang Koq memilih satu kawasan yang lebih tinggi sedikit untuk kami mendirikan khemah manakala pelajar-pelajar dan tenaga pengajar IPTA tersebut mendirikan khemah mereka tidak berapa jauh daripada kami. Abang Koq lebih selesa begitu. Memberikan sedikit ruang kepada mereka dan juga kami. Malam itu saya, adik saya, Abang Koq dan anak saudara menikmati malam bersembang panjang sambil ditemani titik-titik bintang di langit. Bagi saya tidak ada apa yang dapat menandingi detik menikmati kopi panas yang ditemani hembusan demi hembusan rokok daun yang berintikan tembakau jawa tatkala di tengah belantara begitu sambil mendengar deruan arus air. Hebat sekali rasanya.

Kata Abang Koq tempat kami berkhemah pada malam itu dia sendiri belum pernah lagi berkhemah di situ. Memang sesuai sekali katanya untuk dijadikan kawasan persinggahan untuk kumpulan yang akan dibawanya pula selepas ini. Saya sendiri pun setuju dengannya memandang lokasi tersebut adalah satu lokasi yang saya fikir hanya ada buku-buku novel fantasi sahaja.

Keesokan paginya selepas berkemas kami pun meneruskan perjalanan ke puncak Gunung Jerai. Setelah beberapa lama perjalanan kami maka sampailah kami ke puncak Gunung Jerai sambil menikmati keindahan kawasan puncak dan pemandangan sawah padi yang terbentang luas. Walau bagaimana pun kami tidaklah mengambil masa yang lama untuk berada di puncak memandangkan keadaan cuaca yang sudah menunjukkan tanda-tanda awam hitam. Jadi adalah lebih elok untuk kami segera turun segera sebelum keadaan cuaca yang tidak mengizinkan nanti. Saya lihat Abang Koq seperti sedikit tidak keruan. Ada sedikit riak kurang selesa. Rupanya semasa perjalanan menuju puncak tadi adik saya telah mengambil rotan liar dan menggulung-gulung rotan tersebut dan digantungkan di begpacknya. Dan gulungan rotan tersebut baharu dilihat dan disedari oleh Abang Koq.

“Kalau boleh toksah gulung la rotan ni,” kata Abang Koq serba salah. Adik saya terus bertanya kembali kepada dia, “ Pasaipa?”

“Bukan apa..keadaan cuaca pun tak berapa elok ni. Takmau sabit jadi apa-apa.”

Fahamlah kami maksud tersirat kata-kata Abang Koq. Dikhuatiri jika rotan itu digulung ditakuti perjalanan kami nanti pun akan berpusing-pusing seperti gelungan rotan tersebut. Maklumlah Gunung Jerai itu banyak sekali penghuninya yang lain. Kami hormati permintaan Abang Koq itu memandangkandia lebih arif tentang selok belok dan juga kawasan ini.

Perjalanan kami turun ke kaki gunung tidak melalui sebarang kesulitan dan segalanya berjalan dengan lancar. Terpancar kepuasan pada diri masing-masing. Seterusnya kesemua yang berada di situ berpisah di kaki Gunung Jerai membawa haluan masing-masing. Saya dan saya kembali mengikut Abang Koq balik ke rumahnya untuk berehat sebelum kami pulang ke Perlis.

Di pertemuan kali itu jugalah Abang Koq menurunkan ilmu membuat dadih kepada ibu saya yang kemudiannya menjadi perniagaan kecil-kecilan kami selepas itu. Dadih yang dihasilkan segar tanpa menggunakan bahan-bahan premix seperti kebanyakan dadih-dadih yang dihasilkan dewasa ini.

Berakhirnya pertemuan itu terus menjarakkan saya dan Abang Koq. Saya meneruskan kehidupan saya seperti biasa sehinggalah saya mendapat berita daripada ayah saya bahawa Abang Koq sakit. Sakit yang kiranya kalau diperiksa oleh doktor perbuatan biasa tidak menemui sebarang simpton-simpton sakit. Sakit yang tidak boleh diperiksa dengan steteskop. Jadi fahamlah saya.

Khabarnya kejadian pelik menimpa Abang Koq selepas dia balik daripada Gunung Jerai membawa kumpulan yang dia khabarkan kepada saya semasa bermalam dahulu itu. Dikatakan dia turut berkhemah di kawasan yang kami berkhemah dahulu. Ada yang mengatakan itulah puncanya dan asbabnya. Melanggar rumah ‘orang’.

Kata orang mungkin tempat yang dia jadikan kawasan perkhemahan tersebut adalah kawasan kediaman makhluk lain yang sememangnya menghuni kawasan Gunung Jerai itu. Ada orang menanyakan saya semasa kami berkhemah di kawasan itu ada sebarang nyamuk atau haiwan serangga atau pun yang seangkatan dengannya. Saya jawab tidak kerana memang seingat saya tidak ada seekor nyamuk pun yang hinggap di badan saya. Kata orang kalau masuk ke dalam hutan atau belantara berhati-hati dan berwaspadalah jika kawasan itu tidak mempunyai kelibat serangga binatang atau pun nyamuk kerana kawasan itu adalah berpenghuni dan bukanlah kawasan tanpa tuan. Itu kata orang. Saya sendiri tidak pasti. Namun setiap apa yang terjadi itu adalah atas kehendak Yang Esa jualah. Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment