Friday, October 21, 2016

Kematian II

Pagi ini saya menerima panggilan telefon daripada isteri kepada anak guam saya. Memaklumkan bahawa anak guam saya telah meninggal dunia akibat sakit tua dan pelbagai komplikasi kesihatan yang lain.

Anak guam yang mana kesnya masih dalam peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. Yang sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara selama 18 tahun selepas dituduh dibawah SOSMA kerana disyaki terlibat dengan kegiatan militan Daesh.

Memandangkan beliau telah meninggal dunia jadi rayuan kesnya tidak akan berjalan memandangkan tujuan rayuan ini difailkan oleh anak guam adalah untuk mengurangkan kadar hukuman yang telah dijatuhkan ke atasnya. Dan hukuman selama 18 tahun itu saya kira akan terpakai sebagai hukuman yang paling tinggi pernah diberikan untuk kes melibatkan IS setakat ini di Mahkamah Tinggi. Hukuman yang diberikan selepas anak guam saya membuat pengakuan salah ketika di Mahkamah Tinggi, tanpa diwakili oleh mana-mana peguambela.

"Kita akan tunggu keputusan rayuan kes you ni," kata-kata seorang Timbalan Pendakwaraya kepada saya semasa di Mahkamah Rayuan sebelum ini. Nampaknya kes yang mana hukuman 18 tahun ini tidak ada dicabar di Mahkamah Rayuan. Oleh yang demikian setakat ini hukuman yang menjadikan rujukan di peringkat Mahkamah Rayuan masih lagi dalam lingkungan dua tahun bagi kes yang mana Tertuduh membuat pengakuan bersalah di peringkat awal.

Kes ini sememangnya menarik minat saya atas fakta-fakta yang melibatkan elemen-elemen perundangan yang masih baharu. Dan untuk kes ini juga pihak anak guam dapat memfailkan Notis Rayuan walaupun terdapat kelewatan selama setahun.

Innalillahiwainnailaihirajiun.


No comments:

Post a Comment