Tuesday, November 29, 2016

Master Sifu

Sebaik sahaja habis kes saya pada pagi tadi saya terus menuju ke kafeteria mahkamah. Niat di hati hendak membasahkan tekak yang telah kering dengan secawan minuman berkafein yang kebiasaannya menjadi peneman saya setiap pagi.

Sampai di dalam kafeteria saya mula menjenguk-jenguk mencari jika ada muka-muka yang saya kenal. Ingin menumpang semeja dengan mereka kalau ada. Sambil-sambil minum nanti boleh juga berbual-bual dan bertukar-tukar pandangan tentang apa-apa sahaja perkara. Kalau tidak pun mungkin hanya sembang-sembang kosong.

Nun di depan kaunter bayaran ada sebuah meja yang pada ketika itu diduduki oleh seorang pegawai Polis berbangsa Cina yang juga kenalan saya. Dia mengisyaratkan untuk saya duduk di mejanya itu. Dia tidak berkeseorangan. Disebelahnya duduk seorang lelaki Cina separuh umur yang pada amatan mata kasar saya agak sedikit unik. 

Berjanggut panjang dengan gaya potongan rambut persis Fong Sai Yuk ditambah cheongsam yang dipakainya sudah semestinya membuatkan lelaki tersebut nampak berlainan dengan kebanyakan orang di dalam cafeteria tersebut.

Saya menghulur tangan kepada kenalan saya itu dan seterusnya kepada lelaki Cina tersebut. Terpacul perkataan sifu daripada mulut saya. Dia hanya tersenyum. Setelah itu saya biarkan kedua-dua mereka bersembang dalam bahasa Mandarin sementelah saya menikmati secawan panas minum berkafein kesukaan saya. Sambil-sambil itu kenalan saya itu berselang-seli berbual dengan saya. Ada masanya dia memaklumkan isi perbualan yang dia bualkan dengan lelaki Cina tersebut.

Kemudian secara tiba-tiba kenalan saya itu bersuara sambil memandang ke arah saya. “Master cakap you ni punya minat dengar lagu macam tu. Dengar radio. Rilek-rilek. Suka menulis.”

Kemudian lelaki Cina itu pula menyambung, “Walaupun you suka duduk ramai minum macam ini tapi ini bukan you. You tak ada suka macam ini sangat. You buat ini sebab kerja. Bukan you punya hati suka ini macam.”

“I’m sorry,” dia berkata sambil tersenyum kerana telah ‘membaca’ saya.


Tak pasal-pasal dah kena ‘baca’ dengan Master Sifu.

No comments:

Post a Comment