Monday, November 28, 2016

Tak Larat

“Kalau depa nak rampas pun rampaslah. Takpa. Tak larat nak ulang alik mai. Penat,” kata anak guam saya yang sudah berusia itu. Saya faham perasaannya itu. Manakan tidak kerana dia terpaksa datang daripada utara semata-mata untuk pendengaran kes rayuannya ini yang mana telah dirayu oleh Timbalan Pendakwaraya ke Mahkamah Rayuan di Putrajaya. 

Dengan kudrat tuanya itu tempoh perjalanan yang boleh memakan masa selama 6 hingga 7 jam itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada batang tubuhnya itu. Mendatangkan bisa pada tubuh badannya.

Kes anak guam saya ini adalah melibatkan dibawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 yang mana beberapa harta kepunyaannya telah dirampas oleh pihak polis di bawah akta yang berkenaan. Harta-harta yang disyaki diperolehi atau didapati daripada kegiatan dan aktiviti dadah.

Ianya melibatkan tuntutan semula harta-harta yang telah dirampas sebelum ini. Namun ianya adalah agak sedikit sukar dalam kes ini kerana Yang Arif Hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar mendapati bahawa semasa di peringkat mahkamah sebelum ini pihak penuntut tidak dapat memberikan satu bukti yang boleh ditimbang oleh mahkamah berdasarkan perinsip ‘beyond probabilities’ bahawa harta-harta berkenaan adalah dimiliki secara sah. 

Anak guam saya ini adalah berasal daripada kampung yang mana dia hanya bekerja kampung. Namun pendapatannya saya percaya agak tinggi memandangkan dia turut memiliki beberapa jentera pembajak dan juga lori yang digunakan untuk mengambil upah daripada orang-orang kampung setempat yang lain. Jadi tidak hairan dan juga tidak mustahillah sekiranya dia mampu membeli kenderaan terpakai yang telah dirampans itu yang berharga puluhan ribu ringgit dengan tunai sekali pun. 

Memangkan kebanyakan traksaksi yang dilakukan oleh anak guam saya ini terhadap harta-harta berkenaan adalah secara tunai beberapa lama dahulu jadi agak mustahil untuk anak guam saya mengemukakan bukti-bukti yang bersifat dokumentasi semasa diperingkat sebelum ini.

Akhirnya anak guam saya pasrah apabila panel Hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang telah mengenepikan perintah Mahkamah Tinggi yang sebelum ini telah memerintahkan bahawa harta-harta berkenaan yang telah dirampas dikembalikan kepada anak guam saya. 

Walaupun hampa tetapi dia berasa lega. Lega kerana tidak lagi pening dengan kes berkenaan yang terpaksa dihadapinya sejak beberapa tahun lalu dek kerana kegiatan anaknya.  

No comments:

Post a Comment