Monday, May 29, 2017

Puasa Sahak

Macam kebiasaanya, hari hujung minggu memang Sahak akan bangkit lewat daripada kebiasaannya. Bagi Sahak adalah menjadi satu kerugian kalau malam-malam di mana keesokan hari adalah harinya bercuti untuk dibiarkan kosong, berlalu sebegitu sahaja. Cukuplah dalam masa lima hari bekerja itu Sahak perlu untuk masuk tidur awal kerana dia juga perlu untuk bangun di awal pagi. Di mana insan-insan lain masih enak dibuai mimpi dan melayan dengkuran, Sahak terpaksa bersiap untuk memulakan pekerjaannya. Begitulah rutinnya sejak beberapa tahun ini sebagai seorang pengusaha kantin sekolah. 

Sempat juga Sahak menghabiskan beberapa dvd cerita Hindustan yang dia singgah beli di pasar malam kelmarin. Biarlah orang kata rugi dia selalu membeli dvd di pasar malam sedangkan kebanyakan cerita-cerita dan filem-filem boleh dimuat turun di internet sahaja sekarang ini. Bagi Sahak biarlah dia membeli dvd pun, bukannya dia tahu dan pandai hendak menghadap komputer segala bagai itu. Sedangkan komputer pun dia tak ada. 

Kalau dvd ini, balik ke rumah sahaja boleh terus dipasang untuk ditengok di televisyen yang dia menang hadiah cabutan bertuah dahulu itu. Kalau gamaknya dvd itu dia tidak berpuas hati dia boleh sahaja menukarnya dengan budak penjual dvd di pasar malam itu. Budak penjual dvd itu pun sudah mengenali kelibatnya. Senang berurusan.

Buka sahaja matanya, sudah terang benderang gayanya di luar sana. Terdengar bunyi motor orang-orang kampung yang melalui jalan di hadapan rumah Sahak. Rumah batu satu tingkat yang dibina di atas tanah serelung yang dipusakai daripada arwah mertuanya. Bangun sahaja daripada tempat perbaringannya itu Sahak mengeliat sambil membetulkan urat-urat badannya. Terasa puas sekali tidurnya. Dan yang lebih menyenangkan hatinya adalah tidak perlu memikirkan tentang kantinnya dan pelanggan-pelanggannya yang suka berbuat riuh-rendah itu. 

Anak mata Sahak kemudiannya terus tajam merenung jam dinding yang terpaku elok di atas bingkai pintu bilik. Patut perutnya terasa berkeroncong. Sudah pukul 12 tengahari rupanya. Pintu bilik dikuak dengan perlahan sambil sambil Sahak menarik tuala yang tersangkut di sebelah daun pintu. Disangkutnya tuala itu dibahunya sambil membetulkan ikatan kain pelikatnya. Sambil berjalan ke dapur dia sempat mengintai isterinya Saleha yang sedang ralit melipat kain di hadapan televisyen. Sampai di dapur tanpa berlengah Sahak terus membuka tudung saji yang tertangkup di atas meja makan. Kalau pun Saleha belum menyiapkan makanan tengahari mungkin ada saki baki makanan pagi tadi. Jarang sekali tudung saji di dapur rumahnya ini kosong. 

Sebaik sahaja di buka tudung saji tersebut Sahak sedikit kecewa. Kosong. Tidak ada apa-apa pun di atas meja itu. Terdetik juga di hati kecilnya, “Sampai hati sungguh Leha ni, makan sampai tak tinggal satu apa pun ke aku ni. Pada sungguh. Tak ingat ke orang belakang langsung..”

Dia cuba memujuk dirinya sendiri. Memandangkan sekarang sudah hampir waktu untuk makan tengahari dia akan menunggu sahaja untuk Saleha menyediakan dan menyiapkan makanan tengahari. Lagi pun ini salahnya sendiri juga. Bangun lewat sangat. Langsung Sahak terus ke bilik air yang terletak di hujung dapur rumahnya itu. 

Selesai membersihkan dirinya dan menukar pakaian Sahak pun duduk di hadapan televisyen bersama dengan Saleha. Satu patah apa pun tidak keluar daripada mulut isterinya itu. Tangan ralit melipat kain sambil mata pula tidak beralih daripada skrin televisyen. Bukannya mahu ditanya sudah makan atau belum suaminya ini. Kalau tidak pun ditanya apa juadah atau masakan yang hendak di makan Sahak pada hari ini. Tidak ada ‘common sense’ langsung orang putih kata.

Jarum jam terus berganjak menghampiri pukul 1.30 tengahari. Perut Sahak semakin berkeroncong. Terus ditanyanya Saleha yang masih sibuk dengan kain yang berbakul-bakul itu. “Tak masak ke hari ni Leha oi?”

Dijawab lembut oleh isterinya itu,” Ish..takkan la tak masak. Kalau tak masak nak makan apa? Abang nak makan apa hari ni?”

Sejuk hati Sahak mendengar kata-kata isterinya itu. Tak jadi hendak dimarahi isterinya itu. Lalu Sahak menjawab balik, “Ikut la nak masak apa pun. Abang makan apa yang Leha masak pun. Lagi pun Leha masak apa pun sedap. Sungguh..” 

Sudah terliur Sahak apabila membayangkan masakan Saleha itu nanti. Masakan isterinya itu memang tidak pernah mengecewakan. Atas sebab itu jugalah dia tidak takut untuk mengambil alih perniagaan kantin sekolah daripada kawannya dulu. Dia memang yakin dengan berbekalkan kepandaian Saleha dalam bab masak-memasak ini dia tidak akan menghadapi apa-apa masalah untuk mengendalikan perniagan tersebut.

“Ok.” Itu sahaja jawapan daripada Saleha. Pendek. Lalu Saleha meneruskan aktivitinya itu. Langsung tidak berganjak daripada tempat duduknya. 

“Bila hendak masaknya?” sambung Sahak beberapa detik kemudian selepas melihat Saleha masih keras di tempat duduknya.

“Nanti saya masak..awai lagi ni bang?”

Awal lagi kata Saleha?. Jawapan Saleha itu langsung tidak masuk akal. Apa yang awalnya kalau jam sudah hampir pukul 2 petang. Masa yang mana sepatutnya Sahak sedang menikmati makan tengaharinya. Ini bukan sahaja Sahak tidak langsung sedang menjamah apa-apa masakan isterinya bahkan isterinya itu boleh pula mengatakan bahawa masih lagi awal untuk memasak. Sudah hilang akal apa isterinya itu?

Tidak apalah. Mungkin sekejap lagi isterinya akan masuk ke dapur untuk memasak. Bosan untuk menunggu isterinya untuk memasak Sahak masuk ke dalam bilik tidur mereka. Kembali merebahkan dirinya yang baharu sahaja bangun daripada tidur tidak sampai dua jam lalu. Duduk tidak duduk entah macam mana boleh pula Sahak terlelap. 

Mungkin sebab dek kelaparan dan pusing memikirkan perangai Saleha yang macam agak pelik perangainya hari ini. Tambahan pula di usia yang hampir separuh abad sebegini kalau kepala hinggap dan singgah ke bantal pada bila-bila masa memang boleh membuatkan kelopak mata Sahak tertutup tanpa sedar.

Entah berapa lama Sahak terlelap tetapi dia terjaga sebaik sahaja terdengar bunyi laungan azan daripada surau kampungnya itu. Sambil menggosok matanya dia bingkas bangun. Perutnya tidak lagi tertahan laparnya. Bukan setakat terasa berkeroncong malahan sudah terasa seperti dicucuk-cucuk. Dia berjalan menuju ke dapur. Semasa dia keluar daripada bilik tadi dia sepintas pandang dia melihat isterinya ada di hadapan televisyen lagi. Tidak kisahlah dia hendak duduk terpaku seharian pun di hadapan televisyen itu asalkan makan pakai Sahak terjaga. Getus hati kecilnya.

Sampai di dapur dia meluru ke meja makan dan membuka tudung saji dengan pantas. Menyirat darah Sahak sehingga menampakkan mukanya merah padam. Ini memang tidak boleh jadi. Mencabar kesabaran Sahak sama sekali. Manakan tidak, satu apa pun tidak ada terhidang di atas meja itu. Kalau tadinya tadi Sahak masih boleh bersabar tapi kali ini tidak lagi. Apa perangai yang dibuat oleh Saleha ini sampai sehari suntuk tidak di masaknya? Sanggup membiarkan Sahak kelaparan. 

Sudah tidak sayang lagi ke Saleha akan dirinya ini? Bermacam andaian bermain di benak fikiran Sahak. Ini semua perlu ditegur. Sebagai seorang suami Sahak perlu menegur isterinya. Dayus kalau Sahak membiarkan dirinya diperkotak-katik oleh isterinya begini. Tambahan kalau bab makan pakai sebegini. Pantang betul Sahak.

“Leha..ooo Leha. Mai sini sat!”. Jerit Sahak daripada dapur.

Mendengar jeritan Sahak yang entah serupa apa itu terus Saleha bingkas bangun. Bergegas menuju ke dapur. Sampai sahaja di dapur terus dia pelik melihat keadaan suaminya itu. “Pasai apa bang? Awat teruk sangat ni?” tanya Saleha dalam keadaan keliru. 

“Dok tanya pasai apa..pasai apa. Apa nak jadi ni Leha oi? Hang ni sehari dok mengadap televisyen sahaja. Masak pun dak. Apa nak jadi ni? Yang laki hang ni lapaq nak makan bukan hang nak pesoh! Aku ni dari tadi dok sabaq. Dok awai kata nak masak apa lagi..Ni dah masuk asar pun satu apa pun tak masak!” Menyinga betul keadaan Sahak.


Sambil mata Saleha merenung Sahak, “Astaga orang tua ni. Nak makan apa?! Betoi la awai lagi. Ni barulah saya nak masak. Buka posa lagi dua jam bang oi!! Hari ni kan kita posa. Tu la semalam orang kejut sahoq tak bangkit. Dok melayan dvd Hindustan tu sangat sampai pukul berapa! Semayang pun ke mana. Posa pun ke mana. Bawak-bawak la tobat.”

Terus Sahak menonong keluar. Dari luar terdengar Sahak melaung. “Takpalah Leha. Takyah masak. Abang tau Leha penat lipat kain. Abang pi beli kat pasar Ramadhan la. Pi cari qasidah untuk Leha. Peveret Leha kan?”


#ceritaRamadhan

1 comment:

  1. ni orang sains panggil inertia bulan puasa...objek yang sudah biasa tidak puasa akan terus berada dalam keadaan tersebut wakakaka

    ReplyDelete