Saturday, August 19, 2023

Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah Yang Dicabar

SEBELUM NIK ELIN ZURINA & SATU LAGI LWN. KERAJAN NEGERI KELANTAN
Kes Nik Elin Zurina & Satu Lagi lwn. Kerajaan Negeri Kelantan bukanlah satu kes yang pertama dan baharu dalam mencabar keabsahan peruntukan yang terkandung di dalam Enakmen Jenayah Syariah.
Ianya adalah bertitik tolak daripada keputusan Mahkamah Persekutuan Malaysia pada 25 Febaruari 2021 di dalam kes Iki Putra Mubarak lwn. Kerajan Negeri Selangor & Ors. Yang mana Mahkamah Persekutuan dalam kes ini telah memutuskan bahawa Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 adalah ulta vires dengan Perlembagaan Malaysia dan oleh yang demikian adalah terbatal.
SEKSYEN 28 ENAKMEN JENAYAH (SELANGOR) 1995
Seksyen 28 Enakmen Jenayah (Selangor) 1995 memperuntukan seperti berikut:
Mana-mana orang yang melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii dengan mana-mana lelaki, perempuan atau binatang adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.
Mana-mana orang Islam di Malaysia secara umumnya adalah tertakluk kepada kedua-dua jenis undang-undang, iaitu undang-undang sivil di satu pihak dan undang-undang Syariah di sisi lain. Namun sejauh mana penggunaan undang-undang Syariah kepada orang Islam adalah dihadkan oleh Perkara 1 Senarai Negeri. Klausa pengecualian dalam Butiran 1 menghadkan lagi kuasa Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang tersebut dengan meletakkannya kepada Senarai Persekutuan.
Mahkamah membuat dapatan bahawa jelas daripada perkataan pada Artikel 74(3), 75 dan 77 bahawa kuasa utama perundangan dalam undang-undang jenayah terletak di Parlimen. Ini dibuktikan lagi oleh Senarai Negeri dari segi kuasa Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah, iaitu kuasa tersebut tertakluk kepada klausa pengasingan dalam Butiran 1 Senarai Negeri dan Butiran 9 Senarai Negeri.
Bagi mengelakkan keraguan, Mahkamah mengatakan bahawa tidak dinafikan bahawa Dewan Undangan Negeri di seluruh Malaysia mempunyai kuasa untuk menggubal kesalahan terhadap ajaran Islam. Seperti yang diputuskan oleh mahkamah dalam Sulaiman Takrib (supra) dan penghakiman lain yang berkaitan, definisi ajaran Islam (precepts of islam) adalah luas dan tidak hanya terhad kepada lima rukun Islam. Justeru itu, pelbagai kesalahan yang boleh digubal adalah luas. 
Namun kuasa untuk menggubal pelbagai kesalahan itu tertakluk kepada had perlembagaan. Sebagai contohnya, rasuah dan amalan rasuah, rogol, kecurian, rompakan, pembunuhan adalah semua kesalahan terhadap perintah, larangan dan ajaran Islam. 
Walau bagaimana pun dengan adanya klausa pengasingan di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah menyekat pihak Negeri-negeri daripada membuat undang-undang mengenai perkara-perkara yang mana masih dibawah kuasa Parlimen.
Mahkamah mengatakan bahawa 'Senarai Persekutuan' di dalam Butiran 1 Senarai Negeri bahawa Badan Perundangan Negeri hanya diberi kuasa untuk membuat undang-undang ke atas perkara yang belum diperuntukkan di oleh undangkan-undang Persekutuan.
PRECEPTS OF ISLAM
YAA Azahar Mohamed dalam kes ini telah merujuk kepada pandangan Professor Emeritus Dato’ Paduka Dr Mahmood Zuhdi bin Haji Abd Majid berkenaan “Hukum Melakukan Hubungan Seks Di Luar Tabi’i” menurut Undang-Undang Islam. Pengharaman liwat adalah jelas menunjukkan liwat adalah satu kesalahan di bawah undang-undang Syariah dan ianya terpakai kepada semua orang yang beragama Islam tanpa sebarang pengecualian.”
Dalam dapatannya berkenaan dengan isu ini, peruntukan yang dicabar itu yang berkaitan dengan kesalahan luar tabii iaitu 'seks luar tabi'i' atau 'liwat' adalah tidak dinafikan satu kesalahan terhadap ajaran Islam. Ia dianggap haram (dilarang).
Oleh itu, beliau membuat dapatan bahawa peruntukan yang dicabar yang digubal oleh Dewan Undangan Negeri jelas termasuk dalam skop ajaran Islam yang disenaraikan dalam Senarai Negeri. Dalam erti kata lain, peruntukan yang dicabar itu termasuk dalam bidang perundangan Islam. Namun sama ada peruntukan yang dicabar itu telah digubal secara sah oleh Dewan Undangan Negeri, dan bukannya ultra vires dengan Perlembagaan Persekutuan, adalah persoalan yang mesti ditangani secara berasingan yang membawa kepada kepada isu klausa pengasingan.
Yang mana asas kepada peruntukan di dalam Enakmen tersebut adalah jelas dalam ruang likup ‘Undang-undang Jenayah’. Dan bagi maksud ‘Undang-Undang Jenayah’ di dalam Senarai Persekutuan adalah termasuk juga ‘kesalahan-kesalahan terhadap ajaran Islam’ yang mana turut diberikan kuasa kepada Badan Perundangan Negeri. Oleh itu dengan kata lain, hanya Parlimen yang mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang sedemikian berkenaan dengan kesalahan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan fitrah kerana kerangka untuk undang-undang Jenayah adalah dibawah kuasa Parlimen.
Secara jelasnya, Undang-Undang Jenayah adalah dibawah bidang kuasa Persekutuan yang mana hanya Parlimen mempunyai bidang kuasanya. Dan sebaliknya, Undang-Undang Jenayah Islam yang tidak termasuk di dalam klausa pengasingan ini adalah dibawah bidang kuasa perundangan Dewan Undangan Negeri.
KESIMPULAN
Secara kesimpulannya dalam kes ini, Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan sebulat memutuskan bahawanya Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 tersebut adalah tidak sah. Ini adalah kerana dalam “pith and substance” seksyen 28 Enakmen tersebut adalah berkaitan dengan perkara yang termasuk dalam butiran 4 Senarai Persekutuan, iaitu berkait dengan undang-undang jenayah. Walaupun secara nyatanya ianya adalah yang melanggar ajaran agama Islam, namun ianya dikecualikan oleh klausa pengecualian yang terdapat dalam butiran 1 dari Senarai Negeri. Oleh yang demikian, penggubalan peruntukan tersebut oleh sebuah Badan Perundangan Negeri adalah bertentangan dengan peruntukan berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Oleh kerana kesalahan di dalam Seksyen 28 Enakmen tersebut termasuk dalam peruntukan ‘Undang-undang Jenayah’ yang mana adalah di bawah Senarai Persekutuan, badan yang mempunyai kuasa untuk menggubal undang- undang berkaitan perkara tersebut hanyalah Parlimen.

#undangundangsyariah

No comments:

Post a Comment