Tuesday, January 16, 2018

Dari Tirai Besi

Sebaik melangkah melintas pintu gerbang besi penjara saya dan pelatih dalam kamar saya terus menyelusuri lorong laluan menuju ke satu pagar besi utama yang memisahkan blok-blok penempatan tahanan dengan kawasan utama. Setelah sampai di hadapan pintu pagar besi tersebut saya menjenguk-jenguk muka mengintai kelibat mana-mana warden yang berada di blok terdekat. Setiap pagar besi adalah berkunci dan memerlukan warden-warden penjara untuk membuka pintu besi tersebut.

Sambil mata liar memerhati salah seorang lelaki berpakaian biasa tiba dan juga menunggu untuk masuk ke dalam bahagian dalam blok pengurusan. Lelaki berpakaian pejabat biasa dan memakai tanda nama. Saya agak beliau adalah mana-mana penjawat awam atau pun mana-mana badan berkanun. Saya memberikan salam dan menghulurkan senyuman kepada beliau.

“Encik daripada mana?” saya bertanya kepada gerangan lelaki tersebut. Dia memaklumkan yang dia daripada JAKIM. Pegawai kader rupanya. Dia ditugaskan di Penjara Sungai Buloh ini. Memberikan khidmat kepada penghuni-penghuni di Penjara Sungai Buloh daripada masa ke kesemasa.

Sambil berbual pendek itu salah seorang daripada warden penjara daripada belakang datang dan terus membuka pintu pagar besi tersebut untuk kami masuk. Tergesa-gesa warden tersebut membukanya. Kami terus masuk melintasi pintu tersebut menyelusuri koridor bersimen menuju ke blok pengurusan. Berjalan bersaing kami meneruskan lagi berbualan kami.

“Di sini kami fokuskan kepada benda-benda asas agama. Tidaklah terlalu tinggi peringkatnya seperti di universiti. Kami tekankan kepada benda-benda asas seperti solat dan mengaji. Ada sesetengahnya tidak boleh mengaji. Bila tak boleh mengaji macam mana hendak solat kan?

Saya mengangguk-angguk. Ada betul kata-kata lelaki tersebut. Tidak semua orang di luar sana seperti kita. Nikmat dan kesempatan untuk mengenal huruf-huruf dalam kitabullah.

No comments:

Post a Comment