Thursday, July 27, 2017

Kupasan Kes 'Bin Abdullah' - Bahagian 2

Bahagian 2 - Adakah Jawatankuasa Fatwa Johor Ada Mengeluarkan Fatwa berkenaan dengan Anak Tidak Sah Taraf?

Dalam dapatan Mahkamah Rayuan tidak terdapat apa-apa bukti bahawa Jawatankuasa Fatwa Johor yang ditubuhkan mengikut Fasal 46(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 ada menyediakan atau mengeluarkan apa-apa fatwa berkenaan dengan isu anak tidak saf taraf ini. Fasal 47 menyatakan seperti berikut:

Fasal 47. Kuasa Jawatankuasa Fatwa untuk menyediakan fatwa.
“Tertakluk kepada seksyen 51, Jawatankuasa Fatwa hendaklah, atas perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan, dan bolehlah atas kehendaknya sendiri atau atas permintaan oleh mana-mana orang yang dibuat melalui surat yang dialamatkan kepada Mufti, menyediakan suatu fatwa atas apa-apa persoalan yang belum muktamad atau yang menimbulkan ketidaktentuan berhubungan dengan Hukum Syarak.”

Kupasan Kes 'Bin Abdullah' - Bahagian 1

Dalam kes ini beberapa isu-isu penting telah dibangkitkan oleh pihak perayu dan juga responden.

Memandangkan sebab musabab kepada penolakan oleh JPN terhadap permohonan nama si bapa untuk dibinkan kepada anaknya itu adalah melalui rujukan kepada Fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan maka saya akan mengambil intipati alasan penghakiman berkenaan isu ini sahaja. Yang mana saya kira isu ini agak menimbulkan perasaan kurang senang kepada masyarakat luar sana.

Kita tolak ketepi dahulu isu dan dapatan berkenaan dengan fatwa tidak mengikat JPN itu dan sebagainya. Kita fokuskan kepada isu berkenaan dengan fatwa yang menjadi rujukan oleh pihak JPN tersebut sepertimana yang dibincangkan dalam alasan penghakiman. Saya percaya isu tersebut banyak dikupas dan diterangkan. Saya lebih berminat untuk mengupasan berkenaan bahagian ini sahaja memandangkan saya percaya ianya tidak banyak dikupaskan dan dibincangkan.

Monday, July 17, 2017

Gambar Bogel

"Ni dokumen-dokumen pihak Pendakwaan," kata Timbalan Pendakwaraya sambil menghulurkan helaian-helaian kertas yang disusun elok.

"Tapi ada satu lagi dokumen yang saya belum serah. Masukkan representasi dulu. Kalau representasi ditolak baru saya akan bagi untuk bicara," sambung beliau.

"Dokumen apa?" tanya saya sambil mengisi dokumen penerimaan.

"Gambar bogel pengadu."

Perlahan-lahan saya tarik hingus yang cuba meleleh keluar daripada hidung saya. Terasa pekat pula hingus pagi ini yang sejak kelmarin bersarang di hidung saya.

Thursday, July 6, 2017

Jumpa Di Pejabat

Ada seorang anak guam menelefon saya dan memaklumkan bahawa dia ada mempunyai permasalahan undang-undang. Seperti biasa saya akan mengesyorkan untuk dibuat satu temu janji di pejabat saja. Lebih teratur dan senang untuk sebarang konsultasi undang-undang. Apatah lagi jika ianya melibatkan dokumen-dokumen penting.

Cumanya anak guam ini agak serba salah untuk datang ke pejabat saya. Rupanya setelah beberapa ketika di talian baharulah dia maklumkan bahawa dia baharu sahaja dimarahi oleh seorang peguam yang dijumpainya. Membuang masa peguam tersebut katanya sedangkan ianya boleh sahaja dibincangkan melalui perbualan telefon.

Setiap orang tidak sama. Saya lebih suka membincangkan masalah anak guam di pejabat kecil saya itu daripada di mana-mana kedai minum mahu pun di luar. Lebih memudahkan anak guam untuk bercerita dengan lebih telus dan dalam. Lagi terjaga kemaslahatan anak guam.

Wednesday, June 21, 2017

Pelita Panjut Abang

"Malam ni jom kita pasang pelita di kawasan rumah. Nampak meriah sikit," laungnya penuh bersemangat kepada adiknya yang baharu sahaja duduk tidak jauh daripada tempat dia sedang bersila itu. Adiknya itu baru balik daripada surau menunaikan solat Asar.

Hatinya berbunga-bunga untuk memasang pelita-pelita panjut di kawasan rumah orang tuanya pada tahun ini. Bukan apa semasa sedang memandu pulang ke kampung halamannya semalam di sepanjang jalan dia terlihat banyak rumah-rumah kampung memasang pelita panjut di halaman rumah masing-masing. Membangkitkan satu suasana kemeriahan untuk menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang sehari dua lagi. Suasana yang sebegitu yang jarang-jarang dapat dilihat lagi kebelakangan ini.

Dewasa ini dia perhatikan kemeriahan untuk menyambut 1 Syawal itu lebih terlihat di pusat-pusat membeli-belah atau pun di bazar-bazar jualan raya. Sebab itulah pada malam-malam akhir Ramadhan dan malam sebelumnya Aidilfitri orang ramai galak ke bazar-bazar tersebut. Bersesak-sesak dalam suasana yang hiruk pikul dengan jeritan si penjual untuk melicinkan stok barangan yang masih ada. Keterujaan menyambut Syawal ada di situ. Kadang-kala yang datang pun bukannya ada apa hendak dibeli tetapi sahaja hendak berkongsi suasana itu. 

Thursday, June 8, 2017

Berpuasa

Sebelum perbicaraan pagi semalam anak guam non-muslim saya sempat bertanya samada saya berpuasa atau tidak.

Berpuasa. Jawab saya. Saya menambah bahawa saya lebih suka dan selesa menjalankan perbicaraan dalam keadaan berpuasa. Fikiran saya lebih jelas, fokus dan tenang.

Monday, May 29, 2017

Puasa Sahak

Macam kebiasaanya, hari hujung minggu memang Sahak akan bangkit lewat daripada kebiasaannya. Bagi Sahak adalah menjadi satu kerugian kalau malam-malam di mana keesokan hari adalah harinya bercuti untuk dibiarkan kosong, berlalu sebegitu sahaja. Cukuplah dalam masa lima hari bekerja itu Sahak perlu untuk masuk tidur awal kerana dia juga perlu untuk bangun di awal pagi. Di mana insan-insan lain masih enak dibuai mimpi dan melayan dengkuran, Sahak terpaksa bersiap untuk memulakan pekerjaannya. Begitulah rutinnya sejak beberapa tahun ini sebagai seorang pengusaha kantin sekolah. 

Sempat juga Sahak menghabiskan beberapa dvd cerita Hindustan yang dia singgah beli di pasar malam kelmarin. Biarlah orang kata rugi dia selalu membeli dvd di pasar malam sedangkan kebanyakan cerita-cerita dan filem-filem boleh dimuat turun di internet sahaja sekarang ini. Bagi Sahak biarlah dia membeli dvd pun, bukannya dia tahu dan pandai hendak menghadap komputer segala bagai itu. Sedangkan komputer pun dia tak ada. 

Kalau dvd ini, balik ke rumah sahaja boleh terus dipasang untuk ditengok di televisyen yang dia menang hadiah cabutan bertuah dahulu itu. Kalau gamaknya dvd itu dia tidak berpuas hati dia boleh sahaja menukarnya dengan budak penjual dvd di pasar malam itu. Budak penjual dvd itu pun sudah mengenali kelibatnya. Senang berurusan.

Saturday, May 27, 2017

Penangan Fidget Spinner

Ketika bergegas menuju ke bilik bicara, saya terserempak dengan beberapa anggota polis. Kelibat anggota polis di mahkamah adalah perkara biasa. Tidak ada apa yang peliknya dan menarik perhatian saya pun. Tetapi ketika menghampiri mereka saya terlihat salah seorang daripada mereka memegang sesuatu di jarinya. Satu objek yang berkelip-kelip dan memantul cahaya. Terus membuatkan langkah saya terhenti seketika.

Fidget spinner. Itulah objek yang sedang berada di jari salah seorang anggota polis muda berpangkat sarjan itu.

Tuesday, May 9, 2017

Berubat

Sebaik  sampai ke dalam mahkamah saya terus berjumpa dengan Timbalan Pendakwaraya yang mengendalikan kes pada hari ini. Dimaklumkan bahawa representasi yang telah dibuat oleh pihak kami telah diterima. Oleh yang demikian rayuan terhadap hukuman bon kelakuan baik yang sebelum ini diberikan oleh Hakim Sesyen akan ditarik balik.

Semasa mahkamah bersidang Timbalan Pendakwaraya telah memaklum berkenaan dengan perkara tersebut kepada Yang Arif Hakim. Atas alasan tersebut rayuan pun dibatalkan dan anak guam saya diarahkan keluar daripada kandang. Namun sebelum beredar Yang Arif Hakim menyuruh anak guam saya berdiri di luar kandang untuk beliau berkata sepatah dua.

Thursday, May 4, 2017

Hantu Kacau

Sambil saya dan anak guam berbangsa Cina menunggu untuk berjumpa dengan Pendakwaraya bagi mengambil pasport kepunyaan pekerja anak guam saya, kami duduk bersidai di deretan bangku di hadapan mahkamah. Bersembang-sembang kosong.

Tiba-tiba dia bertanya kepada saya soalan berkisar tentang perjanjian sewa antara dia dan pemilik rumah sewanya. Nampak agak serius pertanyaannya itu.

Dia hendak 'terminate' perjanjian sewa tersebut dan meminta pendapat bagaimana cara yang sepatutnya dia lakukan.

Saya tanya kenapa dia tidak mahu meneruskan sewa di rumah tersebutkan sedangkan ianya berdekatan dengan tempat perniagaannya.

"Semua ok duduk situ bos. Tapi satu saja saya tak ada tahan. Itu hantu suka kacau sangat. Malam-malam selalu bising main tangga."

Memang besar masalah dia. Tapi lagi besar masalah kalau peguam nak bagi alasan untuk 'terminate' penjanjian sewaan tersebut. Takkan nak tulis dalam surat sebab hantu selalu kacau?