Wednesday, September 13, 2017

Kasih Seorang Ibu

Sedang memandu untuk ke mahkamah saya menerima satu panggilan telefon. Panggilan daripada ibu seorang anak guam yang mana kesnya sedang diperingkat rayuan di mahkamah tinggi.

Kali terakhir saya bercakap di telefon dengan ibunya ini kalau tidak salah perkiraan saya adalah beberapa bulan lepas. Memaklumkan berkenaan dengan perkembangan kes anaknya itu.

Suaranya dalam talian kedengaran agak perlahan dan lemah. Tidak seperti kebiasaannya. Dia sekadar mahu bertanya berkenaan kes anaknya itu. Memandangkan saya baharu sahaja menerima alasan penghakiman oleh hakim sesyen maka saya perlu menyediakan petisyen rayuan. Maklum saya kepadanya. Oleh yang demikian tarikh untuk anaknya hadir ke mahkamah untuk kes rayuan ini belum ditetapkan lagi. Yang mana anaknya sekarang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Thursday, September 7, 2017

Jurubahasa Spanish

Memandangkan terdapat pertuduhan pindaan yang terbaharu maka mahkamah mengarahkan pertuduhan tersebut dibacakan kembali kepada tertuduh-tuduh. Dibacakan dalam bahasa Spanish. Seorang jurubahasa Spanish yang dilantik khas oleh Mahkamah Persekutuan Malaysia kemudiannya membacakan dan menerangkan pertuduhan tersebut dalam bahasa Spanish.

Tiba-tiba daripada kejauhan daripada bangkunya duduknya Yang Arif Hakim bertanya dan meminta passport jurubahasa Spanish tadi untuk pengesahan.

Monday, September 4, 2017

Cerita Awal Pagi

Disebabkan dari Simpang Pulai - Gopeng - Tapah memang jem rabak jadinya saya ambil keputusan ikut jalan dalam semalam.

Tapi dalam perjalanan daripada Gopeng ke Tapah bila tiba di satu kawasan tu tengah seronok melayan radio Era tiba-tiba saluran radio bertukar-tukar. Sekejap ke saluran radio berbahasa Mandarin dan akhirnya ke saluran klasik. Saya buat tak kisah saja. Mungkin radio kereta auto detect saluran radio. Apa yang nak hairan sangat.

Tapi bila fikir balik sepanjang saya memiliki dan memandu kereta tu sebelum ini tak pernah pula saluran radio saya sebegitu rupa. Itulah kali pertama. Pelik juga bila diingat balik ni. Apa pasal oit?

Monday, August 28, 2017

Belacan Tanjung Paoh

Selepas memaklumkan kehadiran saya kepada jurubahasa kepada Yang Arif Hakim yang berada di mejanya saya terus beredar kembali ke belakang galeri awam. Mencari kelibat isteri dan keluarga kepada anak guam saya yang ditahan dan dituduh dibawah SOSMA ini.

Ruangan galeri awam masih lengang dan hanya ada beberapa kelibat ahli keluarga tertuduh yang lain yang telah hadir. Lagi pun jam masih awal lagi dan kebiasaannya sekitar jam menghampiri pukul sembilan pagi baharulah ruangan bilik mahkamah akan dipenuhi oleh peguambela, anak guam mereka dan juga mereka lain yang berkenaan.

Saya lantas keluar daripada bilik bicara dan meninjau-meninjau sekiranya isteri anak guam saya itu berada di luar. Tekaan saya tidak meleset kerana saya ternampak dia dan dua orang anaknya sedang duduk di bangku kayu di luar di satu sudut berhampiran tingkap. 

Friday, August 25, 2017

Bantahan Awal

Pagi ini telah ditetapkan untuk perbicaraan bagi kes salah seorang anak guam saya yang telah dituduh dibawah akta SOSMA bersama dengan beberapa tertuduh yang lain. Namun sebelum perbicaraan pihak pendakwaan telah mengemukakan pertuduhan pindaan keatas anak guam saya dan juga tertuduh-tertuduh lain. Rasanya ini pindaan yang kedua yang telah dibuat oleh pihak pendakwaan.

Memandangkan terdapat pindaan yang terbaharu maka pihak peguambela memohon untuk satu Preliminary Objection dikemukakan kepada mahkamah.

Tetapi Yang Arif kemudiannya memaklumkan kepada pihak-pihak. Seandainya perkara yang dibangkit adalah melibatkan dan berkait dengan artikel-artikel Perlembagaan Persekutuan maka kes ini terpaksa dirujuk kepada Yang Arif Hakim lain yang ditugaskan mendengar isu-isu perlembagaan. Yang mana pada hari ini juga di mahkamah tinggi yang lain di sini permohonan bantahan awal selingkar isu-isu perlembagaan dibangkit oleh para peguambela yang mengendalikan kes SOSMA yang lain itu.

Wednesday, August 16, 2017

Dalam Mahkamah Itu

Di dalam sesebuah mahkamah pelbagai cerita dan ragam manusia yang saya kutip dan dijadikan sebagai teras dalam penulisan-penulisan saya.

Contohnya pada pagi ini seperti mana kebiasaanya saya ada satu pendengaran Motion dihadapan Yang Arif Hakim.


KES SATU

Sebelum kes saya dipanggil jurubahasa telah memanggil satu kes yang lain. Kes rayuan oleh pihak Pendakwaraya yang tidak berpuas hati dengan denda yang telah diberikan oleh Majistret terhadap Tertuduh. Kes dibawah Seksyen 15(1)(c) Akta Dadah Berbahaya.

"Saya merasakan hukuman denda yang diberikan oleh Majistret sebelum ini ke atas awak adalah tidak setimpal dengan kesalahan awak. Ini kerana dadah yang diambil oleh awak adalah dadah jenis Meth. Bukannya dadah jenis cannabis. Bukannya di consider sebagai soft drug."

Cannabis adalah soft drug. Itu adalah dapatan yang penting dalam obiter dicta yang Yang Arif Hakim.

Thursday, July 27, 2017

Kupasan Kes 'Bin Abdullah' - Bahagian 2

Bahagian 2 - Adakah Jawatankuasa Fatwa Johor Ada Mengeluarkan Fatwa berkenaan dengan Anak Tidak Sah Taraf?

Dalam dapatan Mahkamah Rayuan tidak terdapat apa-apa bukti bahawa Jawatankuasa Fatwa Johor yang ditubuhkan mengikut Fasal 46(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 ada menyediakan atau mengeluarkan apa-apa fatwa berkenaan dengan isu anak tidak saf taraf ini. Fasal 47 menyatakan seperti berikut:

Fasal 47. Kuasa Jawatankuasa Fatwa untuk menyediakan fatwa.
“Tertakluk kepada seksyen 51, Jawatankuasa Fatwa hendaklah, atas perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan, dan bolehlah atas kehendaknya sendiri atau atas permintaan oleh mana-mana orang yang dibuat melalui surat yang dialamatkan kepada Mufti, menyediakan suatu fatwa atas apa-apa persoalan yang belum muktamad atau yang menimbulkan ketidaktentuan berhubungan dengan Hukum Syarak.”

Kupasan Kes 'Bin Abdullah' - Bahagian 1

Dalam kes ini beberapa isu-isu penting telah dibangkitkan oleh pihak perayu dan juga responden.

Memandangkan sebab musabab kepada penolakan oleh JPN terhadap permohonan nama si bapa untuk dibinkan kepada anaknya itu adalah melalui rujukan kepada Fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan maka saya akan mengambil intipati alasan penghakiman berkenaan isu ini sahaja. Yang mana saya kira isu ini agak menimbulkan perasaan kurang senang kepada masyarakat luar sana.

Kita tolak ketepi dahulu isu dan dapatan berkenaan dengan fatwa tidak mengikat JPN itu dan sebagainya. Kita fokuskan kepada isu berkenaan dengan fatwa yang menjadi rujukan oleh pihak JPN tersebut sepertimana yang dibincangkan dalam alasan penghakiman. Saya percaya isu tersebut banyak dikupas dan diterangkan. Saya lebih berminat untuk mengupasan berkenaan bahagian ini sahaja memandangkan saya percaya ianya tidak banyak dikupaskan dan dibincangkan.

Monday, July 17, 2017

Gambar Bogel

"Ni dokumen-dokumen pihak Pendakwaan," kata Timbalan Pendakwaraya sambil menghulurkan helaian-helaian kertas yang disusun elok.

"Tapi ada satu lagi dokumen yang saya belum serah. Masukkan representasi dulu. Kalau representasi ditolak baru saya akan bagi untuk bicara," sambung beliau.

"Dokumen apa?" tanya saya sambil mengisi dokumen penerimaan.

"Gambar bogel pengadu."

Perlahan-lahan saya tarik hingus yang cuba meleleh keluar daripada hidung saya. Terasa pekat pula hingus pagi ini yang sejak kelmarin bersarang di hidung saya.

Thursday, July 6, 2017

Jumpa Di Pejabat

Ada seorang anak guam menelefon saya dan memaklumkan bahawa dia ada mempunyai permasalahan undang-undang. Seperti biasa saya akan mengesyorkan untuk dibuat satu temu janji di pejabat saja. Lebih teratur dan senang untuk sebarang konsultasi undang-undang. Apatah lagi jika ianya melibatkan dokumen-dokumen penting.

Cumanya anak guam ini agak serba salah untuk datang ke pejabat saya. Rupanya setelah beberapa ketika di talian baharulah dia maklumkan bahawa dia baharu sahaja dimarahi oleh seorang peguam yang dijumpainya. Membuang masa peguam tersebut katanya sedangkan ianya boleh sahaja dibincangkan melalui perbualan telefon.

Setiap orang tidak sama. Saya lebih suka membincangkan masalah anak guam di pejabat kecil saya itu daripada di mana-mana kedai minum mahu pun di luar. Lebih memudahkan anak guam untuk bercerita dengan lebih telus dan dalam. Lagi terjaga kemaslahatan anak guam.